Jawatankuasa AKRAB JUPEM Terengganu telah berjaya menganjurkan program Ceramah Ramadhan dan Agihan Bubur Lambuk pada hari Khamis,13 Ramadhan 1433 H bersamaan 2 Ogos 2012 Masihi.
Program ini telah diadakan di Dewan Ukur Cendering, Kuala Terengganu. Antara pengisian program ini ialah ceramah bertajuk 'Menjalani Ibadah Puasa mengikut Sunnah' yang telah disampaikan oleh Ustaz Hanafi bin Abdullah, Pendakwah Bebas yang telah dihadiri oleh lebihkurang 180 orang kakitangan.
Di samping itu sebanyak 7 kawah bubur asyura telah dimasak secara gotong royong oleh kakitangan JUPEM Terengganu. Sebanyak 850 bekas bubur lambuk telah berjaya disediakan dan telah diagihkan kepada kakitangan JUPEM dan juga kepada kakitangan jabatan lain di Wisma Persekutuan, Kuala Terengganu. Sambutan sangat menggalakkan di mana 250 bekas bubur lambuk yang diuntukkan kepada warga Wisma Persekutuan habis diagihkan di dalam masa 5 minit sahaja.
Pada program tersebut juga Pengurusan JUPEM Terengganu, Jawatankuasa AKRAB dan Kelab Sukan dan Kebajikan JUPEM Terengganu telah menyampaikan sumbangan kuih raya kepada kesemua 312 kakitangan.
Diharapkan program seperti ini dapat diadakan setiap tahun bagi mengeratkan lagi hubungan di kalangan kakitangan dan juga dengan orang awam.
No comments:
Post a Comment